Thursday 7 April 2011

Salahkah Menjadi Miskin?


[artikel iluvislam.com]

Sebaik sahaja saya duduk di meja makan di kantin, seorang rakan sekerja ringan mulut bertanya,"Bagaimana dengan rumah baru? Sudah penuhkah isi rumah?"

Saya cuma tersenyum teringatkan mereka semua tertanya-tanya keadaan rumah baru saya yang kini saya duduki seorang diri. Mahu ber'uzlah', mengurangkan percakapan sia-sia dan yang sebetulnya dijemput tuhan untuk berpindah melalui mimpi dan gerak hati (walaupun ramai yang menyangka saya berjenaka apabila saya mengatakan datang seru dari mimpi kerana perpindahan saya sangatlah tiba-tiba dan tak ada pucuk pangkal, beyond explanation).

"Tak beli apa pun. Beli tilam sahaja. Mesin basuh pun tak ada. Yang lain macam orang bujang la. Buku–buku saja penuh rumah saya. Hihi"

Sebetulnya duduk di rumah baru itu sangat mencabar minda, fizikal dan ekonomi saya kerana tinggal seorang diri dan menuntut pengorbanan dari segi kehendak duniawi.

Di rumah lama, saya berkongsi dengan rakan-rakan, kelengkapan rumah semuanya lengkap, kerana masing-masing membeli bahagian masing-masing memenuhkan isi rumah.

Rumah lama juga sangat dekat dengan tempat kerja sampai hanya jalan kaki ke tempat kerja. Rumah baru lebih jauh, dan saya pula pergi ke tempat kerja sehari kadang-kadang berkali-kali untuk program itu dan ini dari pagi sampai ke malam, maknanya minyak kereta pun berkali-kali gandalah jadinya.

Berpindah ke rumah baru ibarat memulakan kehidupan baru. Yang ada cuma televisyen yang mana piring Astronya belum saya pasang di bumbung sehingga kini (dah lebih sebulan), rak buku serta beberapa barang-barang rumah lain yang sangat basic, kalau yang lengkap itu mungkin perencah nak memasak saja.

Ibu dan ayah yang sudah beberapa kali datang meninjau-ninjau rumah baru anak mereka ada juga cuba untuk memenuhkan isi rumah, katanya agar lebih selesa tetapi saya tolak kerana takut bahawa keselesaan akan menjadikan saya lagi malas. (Ada kipas kecil pun dah rasa tak mahu bangun tidur)

Dan rasanya itulah yang cuba Allah didik, ya! Tinggalkan kegilaan dunia yang tak pernah habis dan surut. Keinginan tidak akan pernah kenyang, bisikan-bisikan akan sentiasa datang mengatakan kita perlukan itu, ini, dan lain segala-galanya yang sebetulnya cumalah kehendak yang diada-adakan.

Saya yakin inilah jalan pilihan Allah untuk saya. Tinggal di rumah kecil ini dan menggunakan rezeki kurniaan Allah untuk apa yang perlu bukan apa yang saya nak. Kenapa semua orang sangat takut hidup susah? Teruk sangatkah jadi miskin?

Kisah Nabi

Menelusuri sirah dan menyingkap hikmah disebalik kehidupan manusia agung, cinta kedua kita setelah Allah s.w.t iaitu Muhammad bin Abdullah, penghulu kita di akhirat kelak, menimbulkan persoalan-persoalan yang tidak ada penghujungnya di kotak fikiran.

Persoalan-persoalan ini membuat saya bertanya,"Dimana cacat celanya sirah ini sehingga kita gagal membuka mata seluas-luasnya mengambil iktibar serta menjadikannya panduan kehidupan?"

Jawapannya tiada. Tidak ada.

Penyempurna Akhlak

Dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah, Nabi Muhammad diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia. Jika dikaji dan diikuti dengan teliti, setiap peristiwa yang terjadi di dalam hidup baginda tidak ada yang kebetulan sebaliknya penuh dengan pengertian dan sebab musababnya.

Pengajaran di Zaman Kanak-kanak

Ketika baru dua bulan di dalam perut ibunya, Allah s.w.t telah mewafatkan ayah Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib dan apabila menginjak usia 6 tahun, satu lagi tempat bergantung iaitu ibunya Aminah telah diwafatkan Allah.

Mengapakah Allah menghilangkan kasih sayang ibu bapa daripada Muhammad ketika beliau masih kecil? Ini tidak lain tidak bukan untuk mengajar Nabi dari kecil agar cekal dalam menghadapi kehidupan. Tambahan lagi, kecekalan dan kekuatan jiwa inilah yang akan diperlukannya kelak dalam menghadapi penentangan penyebaran dakwahnya kelak apabila diangkat menjadi Nabi.

Percaturan Allah dalam melakar kekuatan jiwa Muhammad s.a.w juga boleh dilihat dengan pemilihan Abu Talib sebagai penjaga Nabi setelah ketiadaan ibu bapa walhal terdapat anak-anak Abdul Mutalib yang lain yang dilihat lebih mampu memelihara Nabi kerana lebih kaya dan segi harta dan wang ringgit.

Namun hak penjagaan diberikan kepada Abu Talib, iaitu antara saudara termiskin ketika itu. Abu Talib sendiri mempunyai ramai anak tetapi dengan berbesar hati memelihara Nabi Muhammad s.a.w. Ibrahnya di sini Allah juga tidak mahu lelaki istimewa yang bakal menyeru umat manusia kepada Allah menjadi seorang pemimpin yang dimanjakan dengan wang ringgit dan harta kekayaan dunia.

Mengapa? Kerana mana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu erti kesusahan dan kepayahan dalam hidup dapat menjadi seorang pemimpin yang memahami dalam erti kata benar-benar dapat menyelami hati pengikut-pengikutnya terutama yang serba daif dan kekurangan.

Berbeza dengan pemimpin hari ini yang mana pemimpinnya mempunyai harta melimpah-ruah serta rumah-rumah mewah tersergam indah laksana istana tetapi mengaku faham akan kesusahan rakyat.

Tidak sama, antara mengetahui dengan melihat, merasai, mengalami sendiri, dan menyangka anda memahami, setiap satu ini cukup berbeza pengertiannya antara satu sama lain.

Seorang pemimpin yang tidak mengamalkan gaya hidup zuhud, boleh sahaja menderma beberapa bahagian daripada hartanya kepada orang susah tetapi pulang ke rumah masih mampu tersenyum kerana masih mempunyai tilam empuk yang menyambutnya berpenat lelah bertemu rakyat.

Nabi Muhammad s.a.w tidak begitu. Malahan tidak ada orang yang lebih mengetahui pengertian kepayahan, kesusahan hidup melainkan baginda tetapi pada masa yang sama membesar sebagai individu yang cukup hebat akhlak, perlakuannya, tingkah lakunya, tutur katanya di kala dunia sekitarnya rosak remuk, redam digodam kejahiliahan manusia. Inilah manusia yang dijaga Allah s.w.t untuk memimpin kita beriman kepadaNya.

Tatkala dijaga Abu Talib, Nabi Muhammad juga tidak pernah berebut makanan dengan sepupu-sepupunya. Acapkali beliau hilang apabila tiba waktu makan, tetapi selalu menjadi yang terdahulu apabila menawarkan diri untuk membuat kerja.

Tidur dalam keadaan lapar juga merupakan satu kebiasaan bagi beliau. Indahnya akhlak Nabi adalah apabila baginda selalunya lebih lapar daripada sahabat-sahabat tetapi apabila ada yang menawarkan makanan, baginda tidak sanggup kenyang sendirian walaupun makanan itu hanya cukup untuk beliau dan beberapa orang sahabat sahaja sebenarnya.

Rahsia

Sedarkah kita sejak dari awal kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, Allah telah melukiskan sebuah kisah yang mana mengajar kita keyatiman itu bukan satu keaiban, kemiskinan itu tidak bermakna kemelaratan, dan kekurangan itu bukan satu kelemahan tetapi sumber kekuatan, kecekalan, acuan hebat dalam mencorak akhlak agung yang menjadi suri teladan sekalian umat.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu" (Al-Ahzab:21)

Lalu siapa yang mengajar kita bahawa miskin itu hina? Bahawa miskin itu rendah darjatnya? Bahawa kekurangan itu kecacatan. Tidakkah kita sedang ditipu oleh ideologi yang hebat menggasak ketamadunan manusia hari ini bahawa kaya bisa membuat kita bahagia, kaya bisa membuat kita dipandang mulia, kaya dan keselesaan hidup itu segala-galanya. Kita diajar malu menjadi miskin.

Mana mungkin Allah terlupa menyebutkan ini di dalam kitabNya seandainya inilah tujuan kita dijadikan, seandainya inilah kiblat tujuan kita dalam kehidupan ini, menjadi kaya sekaya-kayanya.

Kita takut dengan bayang-bayang kesusahan padahal itulah sebenarnya jalan untuk berkenalan dengan kisah hebat seorang rasul ulung walaupun tidak mungkin dapat kita rasai kesusahan seperti baginda.

An eye-opener

Perjalanan saya ke kawasan perumahan (di sebuah perkampungan terpencil), seorang pelajar yang amat akrab dengan saya membuka mata saya dengan lebih luas. Tidak saya sangka, rumah-rumah mereka terletak begitu dekat antara satu sama lain, persis kisah-kisah sinetron dari seberang yang ditonton dalam televisyen.

Dari luar, terpancar jelas kehidupan mereka serba kekurangan dan mereka ditinggal kemewahan moden yang telah menjadi darah daging di dunia luar.

Tidak lama kemudian ibu pelajar tersebut muncul, riak wajahnya hiba, barangkali terharu saya datang menjemput anaknya sehingga ke kampung mereka yang jauh dari bandar. Ketika bersalaman, terasa hangat tangan kasih seorang ibu mengharap saya menjaga anaknya seperti dia menjaganya setelah menitipkan pelajar itu kepada saya. Dia seakan-akan tidak mahu melepaskan tangan saya.

"Cikgu datanglah ke rumah nanti. Cikgu tidur di rumah kami ya?"

Ketika itu menjalar sejenis perasaan di hati saya, mungkin kagum pada masa yang sama terharu dan sebak. Teringat saya, pada hari sebelumnya pun pelajar itu beriya-iya mengajak saya bermalam di rumahnya.

"InsyaAllah lain kali saya datang ke rumah. Hari ni dah tak sempat. Sebab pengajian bermula 9 pagi, sekarang pun dah nak pukul 9"

Setelah ibu dah ayah itu melambai-lambai, kereta saya menderu laju memecah laluan sunyi ke bandar.

Sepanjang perjalanan ke masjid, perasaan saya jadi tidak menentu. Fikiran pula melayang jauh. Saya malu. Saya malu dengan kejahilan saya sendiri. Saya pernah malu dan berasa rendah diri kerana satu ketika dulu saya pernah merasa malu menjemput sahabat ke rumah kerana rumah saya tidak sebesar rumah mereka.

Di manakah kesyukuranku, ya Allah. Ceteknya akalku. Besarnya hati mereka. Ya Allah janganlah kiranya kau membiarkan dunia mengotorkan hati mereka yang bersih ini.

Penutup

Seandainya pintu hijrah terbuka, berhijrahlah. Berhijrahlah kerana Allah. Berhijrahlah kepada Allah. Tidak usah takut kepada kesusahan, kekurangan, kesempitan atau kesulitan. Bukankah rezeki itu milik Allah dan Allah juga yang mencukupkanmu?

Tidak pernahkah kau mendengar orang yang terasa kurang, sempit, sulit di dalam kecukupan malah kemewahan lantas merasa hidup kosong dan tidak berguna?

Ya Allah jauhilah kami dari tergolong dalam golongan sebegitu. Amin.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

Monday 4 April 2011

DIRIMU AKU SANJUNGI

(hasil penulisan Fakhrullah Mawardi, dipetik dan di-edit daripada Sinergi Edisi ke-4)

SIAPA IDOLA HARI INI?

Ketika masuk ke bilik anak kita, adik-beradik kita, kawan kita, ibu bapa kita, bahkan mungkin kita sendiri, pasti terpampang poster-poster idola yang ditampal di dinding bilik masing-masing, bahkan ada sehingga menutupi kesemua cat asal dinding tersebut. Yang menyedihkan, idola tersebut semua ke arah tujuan dunia semata-mata. Samada, dari medan artis, pelakon, pemain bola sepak atau kartun-kartun yang buruk karakternya. Bahkan, bukan hanya poster dipampang sebagai hiasan, namun ia menjadi sumber cermin kepada diri sendiri agar mengikuti karakter idola tersebut. Hasilnya, lahir generasi yang menjadikan figure buruk untuk diteladani.

Begitu juga ketika ditanya mengenai tokoh,"Siapa Bapa Fizik Dunia?" Mereka menjawab,"Albert Einstein." "Siapa pengasas telefon?" Mereka pun menjawab,"Alexander Graham Bell." Namun, cuba tanyakan,"Siapa sahabat Rasulullah yang digelar Asadullah?", "Siapa yang memberi idea menggali parit ketika Perang Khandaq?", "Siapa pejuang Islam yang menentang rezim Itali yang digelar oleh musuh sebagai The Lion Of Desert?", "Siapa tabi'in yang sanggup berjalan 3 hari hanya untuk mencari satu hadis?", "Siapa ulama' yang ketika dipenjara masih mampu berkarya?" Jika semua pertanyaan mengenai tokoh Islam diutarakan, mungkin 90% generasi Islam hari ini diam tiada idea.

Namun, manusia yang paling utama perlu kita kenali, ketahui, teladani dan ikuti adalah "Ketua Guru" atau "Penghulu Murobbi" yang mengajar, membimbing dan mendakwahi generasi-generasi yang meninggikan agama yang diredhai, baginda Nabi Muhammad S.A.W.. Demi Allah, inilah idola kita semua.

Berkat dakwah, perjuangan dan pengorbanan baginda, kita pada hari ini mampu menggapai dan merasai nikmat keislaman dan keimanan dalam diri kita. Wahai Rasulullah dan Kekasih Allah, "Dirimu Aku Sanjungi".

DAKWAH: SUNNAH BESAR RASULULLAH

Kesempatan kali ini, ingin saya bawakan sunnah yang jarang diketengahkan, sunnah yang merupakan puncak kegemilangan umat, yang menyebarkan ilmu al-Quran dan Hadis, yang menjanjikan status umat terbaik; itulah sunnah berdakwah ke arah kebajikan, dan menentang kebatilan.

Namun, apabila berkata soal dakwah, ada sahaja manusia yang phobia atau allergic terhadap perkataan ini. Inilah kejayaan musuh Islam untuk membuatkan orang Islam sendiri memandang serong terhadap kalimah seruan yang murni - DAKWAH. Janganlah kita yang menjadi peniup sangkakala, yang mendatangkan kiamat pada sunnah berdakwah. Semoga kita tidak terpengaruh dengan perkara ini!

Lebih kurang 1430H yang lalu, dakwah bermula dari Rasulullah yang bersendiri, lalu bercambah bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan menyirami. Kualiti generasi yang mengikuti Rasulullah dalam segenap kondisi, dan sunnah terbesar berdakwah terus diwarisi. Mengingatkan manusia kembali kepada Allah.

Ketika Rasulullah mendapat wahyu, baginda tidak hanya duduk berdiam diri. Tapi, mendakwahi yang lain untuk menyertai sehingga lahirlah para sahabat wa sahabiah. Para sahabat wa sahabiah juga mengikuti Rasulullah dalam segenap kondisi. Tidak duduk diam sendiri, tidak ingin soleh-solehah sendiri, mereka juga bangkit melakukan sunnah berdakwah seperti Rasulullah, mentarbiyah melahirkan generasi tabi'in dan seterusnya generasi tabi' tabi'in. Dan begitulah seterusnya melahirkan generasi-generasi yang masih meneruskan sunnah dakwah yang murni hari ini. Walaupun sudah pasti makin lama makin sedikit.  Bahkan orang yang melakukan sunnah ini dianggap pelik. Namun beruntunglah orang-orang ang pelik tersebut.  Let's dare to be different!
"Katakanlah:"Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." [QS Yusuf, 12:108]
Ramai yang ingin mengikuti Rasulullah S.A.W., namun memilih mana yang sesuai dan menyenangkan diri sendiri. Sedangkan Ibnu Qayyim menyatakan bahawa tidak murni seseorang yang dikatakan pengikut Nabi Muhammad, selagi mana tidak menyampaikan apa-apa yang didakwahkan oleh baginda. Inilah juga yang dikatakan Imam Qurtubi dalam menafsirkan ayat:
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." [QS Al-Ahzab, 33:21]
Imam Qurtubi menyatakan, ingin meneladani Rasulullah harus dalam semua kondisi. Jangan sekadar ikuti sunnah berbisnes, namun tidak mahu sunnah tawadu'. Jangan sekadar ikuti sunnah kahwin lebih dari satu, namun tidak mahu sunnah memberi sedekah. Jangan sekadar ikuti sunnah berjanggut, namun tidak mahu sunnah qiamullail. Jangan sekadar ikuti sunnah menuntut ilmu, namun tidak mahu mengikuti sunnah berdakwah.

DAKWAH UBAT PENYAKIT UMAT

Kebatilan yang tersusun akan mampu mengalahkan kebajikan yang tidak tersusun. Namun, jika kita lihat dunia hari ini, kebatilan yang tidak perlu disusun juga sudah mampu mengalahkan kebajikan yang kita usaha menyusunnya. Kita dapat lihat kebatilan seperti isu penzinaan atau pergaulan bebas, pengaruh sesama mereka sudah tidak perlu dipandu dengan tersusun namun sudah mampu menguasai pemikiran kebanyakan manusia dan mengalahkan kebajikan yang ingin disusun melawannya.

Begitu juga dengan habuan-habuan dunia yang diperaga dan diperjuangkan. Semua sudah mampu mengalahkan benteng keimanan individu mahupun berkumpulan. Apa tindakan kita? Adakah kita ingin diwarnai oleh kebatilan masyarakat? Atau kita yang mewarnai dengan warna kebajikan kepada masyarakat?
"Barangsiapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lisannya, dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. Ketahuilah itu adalah selemah-lemah iman." [HR Muslim]
Cuba kita bayangkan, selemah-lemah iman adalah mencegah dengan hatinya, bagaimana pula dengan manusia-manusia yang bukan hanya mencegah perbuatan dengan hatinya, namun dia sendiri yang terjun melakukan kemungkaran tersebut? Di mana garis keimanannya?

Diminta menjaga ikhtilat (pergaulan), namun dia yang mulakan. Diminta jauhi perzinaan, dia yang lakukan. Diminta jaga aurat, dia yang peragakan. Diminta jaga persaudaraan, dia yang merosakkan. Dan banyak lagi perintah Allah kepada kita yang termaktub dalam al-Quran, dan ajaran dari Rasulullah melalui sunnahnya yang tidak diikuti. Cuba kita bandingkan amalan kita dengan kandungan kitab Allah dan sunnah RasulNya, nescaya kita akan tahu bagaimana nasib kita di hadapan Allah kelak jika tidak kita perbaiki.

HIDUPKANLAH SUNNAH BERDAKWAH

Ayuh hidupkan kembali sunnah dakwah Rasulullah. Ayuh singkap kembali mutiara sunnah yang makin malap dan menghilang ini. Sunnah yang berorientasikan dakwah kepada Allah, berpaksikan sunnah Rasulullah dan bernafaskan agama Islam. Semoga semua yang diberikan dan diajarkan Rasulullah kepada kita akan kita amalkan.
"Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah (lakukanlah). Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya." [QS Al-Hasyr, 59:7]
Semoga kita sama-sama melibatkan diri dan membantu menghidupkan sunnah berdakwah ini. Gerabak dakwah itu melewati semua stesen. Tetapi, ia tidak akan memaksa seseorang untuk menaikinya. Kebanyakan tidak menaikinya kerana merasa tidak layak untuk bersama dakwah, sedangkan gerabak ini sememangnya tersedia bagi mereka yang merasa tidak sempurna. Walaupun pasti agak berat dalam kondisi hari ini.

Dalam beramal, memang kita diberi pilihan untuk melakukan sesuai dengan kemampuan diri, namun, mari kita berusaha melakukan sunnah-sunnah Rasulullah semampu dan semaksima yang boleh, bukan melakukan sesikit yang boleh. Sebagai lambang kita bukan menyanjungi dan meninggikan ikon yang lain, selain kepada seorang insan mulia yang kita rindui, iaitu Muhammad Bin Abdullah S.A.W..

Mulakan dengan mengenali dahulu insan mulia ini, tidak kenal maka tidak sayang. Kenali dirinya, hayati perjalanan hidupnya, teladani sunnahnya, kemudian ajarkan pada keluarga, masyarakat dan umat seluruhnya. Semoga sunnah baginda kita hidupkan sebagai lambang cinta kita kepada Rasulullah S.A.W. yang pasti bermuarakan cinta kepada Allah semata. Katakanlah kepada Rasulullah:

"DIRIMU AKU SANJUNGI"


Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

Sunday 3 April 2011

Sedikit Coretan Tentang Al-Quran

[Hasil penulisan Farahana (iluvislam.com)] 

Ketika saya menghadiri satu majlis Qira'at di Universiti Birmingham di United Kingdom, hati saya sangat tersentuh apabila salah seorang juri, ustazah Badriyah memberikan perkongsian berkaitan al-Quran.
Ketika itu saya terfikir, adakah kita cukup menghargai al-Quran? Kenapa kita kena hargai al-Quran?
kita harus tahu betapa susahnya untuk sahabat-sahabat dahulu menulis al-Quran. Apabila Rasulullah menerima wahyu Allah yang disampaikan oleh malaikat Jibril, Rasulullah akan menyampaikan wahyu itu kepada sahabat-sahabat.

Sahabat-sahabat akan menyalin satu persatu wahyu dari Allah ini. Setiap patah dan ayat al-Quran akan disalin oleh sahabat-sahabat daripada bacaan Rasulullah. Kemudian Rasulullah akan bertanyakan kepada malaikat Jibrail samada tepat dan benarkah apa yang ditulis oleh para sahabat kerana betapa wahyu Allah dijaga kesuciannya agar tidak tersilap tulis. Mengapa bukan Rasulullah sendiri yang menulis? Nabi Allah yang mulia itu buta huruf dan tidak dapat menulis. Antara hikmah disebalik kejadian Rasulullah yang tidak dapat manulis ini adalah menjadi bukti kepada orang-orang terdahulu bahawasanya, ayat al-Quran, bukanlah direka-reka oleh Rasulullah, tetapi sebenar-benarnya daripada Allah swt. Allahuakbar. Hebat sungguh perancangan Allah.

Satu benda yang sangat mengagumkan saya adalah setelah mengetahui betapa kita, umat manusia adalah sangat beruntung. Ketahuilah bahawa semasa kita membaca al-Quran, para malaikat akan datang kepada kita, dengan jarak yang sangat hampir, terlalu hampir kerana malaikat-malaikat ingin mendengar bacaan al-Quran yang dibaca oleh kita, para muslimin dan muslimat. Para malaikat tidak boleh membaca al-Quran dan hanya boleh mendengar bacaan al-Quran daripada kita. Mengapa kita beruntung? Sesungguhnya kita adalah makhluk yang dipilih oleh Allah yang dapat membaca al-Quran dan diberi kebaikan sebanyak sepuluh kali ganda untuk setiap huruf yang dibaca. Subhanallah. Hanya membaca, 'alif lam mim' kita mendapat 30 ganjaran kebaikan. Bukankah kita makhluk Allah yang sangat beruntung?

Oleh itu, kita perlu membaca al-Quran dengan tajwid dan sebutan yang betul. Sesungguhnya al-Quran, kalam Allah ini adalah daripada Allah swt kepada Rasul-Nya. Jika kita tidak dapat membaca al-Quran seperti yang dibaca oleh Nabi Allah Muhammad, ketahuilah, kita telah mempelbagaikan bacaan al-Quran itu sendiri. Nauzubillah.

Pada zaman Rasulullah dahulu tidak ada hukum tajwid untuk membaca al-Quran kerana Rasulullah dan para sahabat menggunakan bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran itu sendiri. Jadi mengapa perlu baca al-Quran dengan tajwid yang betul? Pada zaman ini, al-Quran dibaca oleh umat manusia, Muslim, di serata dunia, oleh segenap jenis bangsa yang mempunyai pelbagai bahasa dan loghat yang tersendiri. Jadi, tajwid merupakan panduan agar sebutan asli al-Quran oleh Rasulullah kekal sama dan tiada berubah. Kita harus berusaha untuk memperbetulkan bacaan kita. Orang Melayu , terutamanya ramai di kalangan kita yang tidak sedar sebutan makhraj kita, seperti huruf 'ain' dan lain-lain banyak silapnya. Sama-samalah kita perbetulkannya.

Benar, sangat susah untuk mengubah lidah kita yang sudah berpuluh tahun berbahasa Kelantan, dengan loghat Kedah, mahupun dengan dialek yang berbagai-bagai lagi. Tetapi, ingat satu pepatah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Bergurulah dengan guru yang sebenarnya, perbaikilah bacaan dangan ikhlas, insyallah pasti Allah akan membuka jalan dan berdoalah semoga dipermudahkan urusan kita dalam memperbetulkan bacaan kita.

Jadi mengapa harus kita membaca al-Quran? Haruslah semata-mata kerana Allah, dan kemudian kerana Rasul-Nya. Tiada alasan dan sebab lain lagi. Ketahuilah, di akhirat kelak, puasa dan al-Quran akan datang kepada kita dengan anggota memberi kesaksian kepada Allah tentang kita. Menjadi penolong buat kita di akhirat kelak di hadapan Allah. Jika kita membaca al-Quran, al-Quran akan menjadi saksi kita yang selalu ada dengannya, begitu juga dengan puasa kita. Allahuakbar.

Maka, hargailah al-Quran, bacaalah kalam Allah itu dengan bacaan yang betul. Selagi kita punya kesempatan masa, di dunia yang cukup singkat ini.

Artikel iluvislam
Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

Athan(Azan)
This software is very useful for those who live far from mosque and can't hear adzan.This software willl automatic start at startup.As long as you don't exit,it will always running
.Athan (Azan) 4.1 allows you to hear automatic Athan (Azan) at the right time five times a day on every prayer time. Most Accurate Prayer times, Qiblah direction, Hijri Islamic Calendar, and many beautiful Athan (Azan, Adhan) sounds. More than 10 Million Athan Downloads Worldwide. Themost popular religious software according to download.com



Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

Saturday 2 April 2011

Percaya untuk Berjaya


[hasil penulisan usop (Wan Yusof Norilham Wan Jeffrey)]
"Untuk berjaya, kena percaya!" kata Mr. X.
Ringkas sahaja. Namun cukup bermakna. Untuk memudahkan perbincangan, kita rangkumkan percaya dan yakin dalam satu pakej.
Kita percaya yang kita akan hidup esok hari, maka kita sibuk merancang. Program diatur dengan hati-hati. Kalendar penuh. Jemputan sana sini. Pendek kata, sungguh teratur hidup kita. Perancang berjaya!
Menariknya kita percaya juga untuk mati, tapi...(isikan tempat kosong dengan jawapan sendiri)
Maka sebenarnya, adakah kita percaya dengan kematian? Atau kita bersikap menafikan (denial)?
Semestinya jarang manusia sukakan kepada penghujung (ending). Sentiasa ada tangisan yang mengiringi perpisahan. Maka tidak pelik untuk melihat manusia menangis meratapi kematian orang tersayang.
Tapi sahabat, mari kita menukar cara pandang kita. Bagaimana jika kematian itu bukan penghujung, tapi permulaan. Permulaan yang bakal menentukan kejayaan atau kegagalan.
Benar, permulaan juga disambut dengan air mata. Tapi air mata itu adalah air mata keriangan dan kegembiraan. Alangkah bahagianya mereka yang mendapat syurga. Subhanallah.
Berbalik kita kepada pesanan Mr. X, percayalah anda akan berjaya. Namun untuk berjaya anda kena ikut orang yang berjaya. Ikut orang yang tidak berjaya, anda teraniaya!
Kehidupan kita ini ada banyak cara untuk sampai ke penghujungnya. Jalan yang mana sekalipun anda pilih, anda tetap akan sampai ke hujungnya. Sesungguhnya, cara hidup kita akan menentukan cara mati kita, pesan Imam Ghazali. Maka kisahlah akan cara hidup kita.
Sambung Mr. X lagi,
"Percaya mesti disertai usaha. Percaya itu dalam diri kita. Tapi usaha itu manifestasi kepercayaan kita."
Manifestasi. =)
Ayuh kita menjadi orang yang percaya dan berusaha. Tatkala Nabi s.a.w mengkhabarkan kepada sahabat yang Kota Konstantinopel (Constatinople) akan dibuka, maka yang mengiringi kepercayaan itu adalah angkatan tentera yang berusaha untuk membuka kota bertuah itu.
"Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah pimpinannya adalah sebaik-baik pasukan." (H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335)
Percaya untuk berjaya!

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

konsep Hijrah







Oleh: Buzar-1Rasulullah s.a.w telah berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk meneruskan perjuangan dakwahnya ketika kaum Musyrikin Mekah bertambah giatnya menentang dakwah Islam. Rasulullah s.a.w telah menempuh laluan sukar, merbahaya dan diburu oleh musuh.

Bila-mana Rasulullah s.a.w bersama Syaidina Abu Bakar r.a bersembunyi di dalam gua, kaum Musyrikin telah menghampiri gua tersebut, yang mana Allah telah memerintahkan sang labah-labah memasang sarangnya disitu, lalu gua tersebut kelihatan seperti tiada siapa pun yang memasukinya. 

Begitulah kekuasaan Allah yang mana Allah boleh mengambil usaha dari apa sahaja, dari siapa sahaja yang dikehendakiNya, seperti dari usaha sang labah-labah melindungi gua tersebut dari dimasuki oleh kaum Musyrikin, lalu terselamatlah Rasulullah s.a.w. dan Syaidina Abu Bakar r.a.

Allah sebenarnya tidak memerlukan apa-apa sebab untuk melindungi mereka, tetapi hanya semua kisah perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w adalah suatu misal untuk umat ini.

Penghijrahan seumpama Rasulullah s.a.w dan para-para Sahaba itu tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas pembukaan kota Mekah, namun konsep penghijrahan itu tetap berterusan di kalangan umat Islam. Seperti penghijrahan dari kemungkaran kepada kemakrufan, kejahatan kepada kebaikan dan dari kebaikan kepada yang lebih baik lagi. Dari kejahilan kepada berilmu, dari kemunduran kepada kemajuan, dari melakukan dosa-dosa kepada amal-solehan dan seterusnya.

Seperti konsep hijrah Rasulullah s.a.w, pastinya perlu dilakukan bersunguh-sunguh dan sanggup menempuh jalan yang penuh risiko disamping sentiasa memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah Taala.

Diantara konsep hijrah yang masih berlarutan:

Hijrah Iman – Iman para Anbiya tidak pernah surut malah sentiasa meningkat kerana saban waktu mereka berusaha keatas iman, sama ada untuk diri mahupun untuk menyampaikan pada orang lain, sementara iman kita sentiasa pasang-surut, dan terutamanya di zaman ini, lazimnya iman kita akan sentiasa surut kerana pengaruh duniawi, jadi untuk kita berhijrah ke arah keimanan yang lebih baik, hendaklah kita melalui usaha membersihkan sifat-sifat keji (mazmumah) dan berusaha mendapatkan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) agar hati akan sentiasa disinari nur-nur hidayat.

Lantas usaha pertama ke arah itu adalah usaha dakwah (sebagaimana para-para Anbiya dan juga para-para Sahaba), mengajak ke arah kebaiakan dan mencegah kemungkaran mengikut kemampuan diri. Usaha yang banyak memperkatakan tentang kebesaran Allah, ciptaan-ciptaan Allah dialam-semesta. Usaha yang mengenal apa kehendak agama pada diri, keluarga dan seterusnya untuk seluruh alam.

Hijrah ilmu – sebagaimana yang diperkatakan oleh ahli hikmah, ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya. Kejahilan membawa padah yang buruk, kerana setiap muslim samaada lelaki atau wanita adalah diwajibkan untuk mendapatkan ilmu terutamanya ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Juga ilmu tentang kehidupan yang sehariannya, kerana dengan berilmu sahajalah, seseorang itu dapat meningkatkan kefahamannya tentang kebenaran. Ilmu yang benar adalah seperti cahaya yang menyuluh jalan di dalam kegelapan dan merupakan dalil untuk beramal.

Hijrah amal – dari amalan yang buruk kepada amalan yang baik, serta mentaati segala amalan yang diperintahkan oleh Allah seperti bersolat, berpuasa, berzakat dan seterusnya. Setiap detik hidup adalah merupakan peluang untuk melakukan amalan-amalan yang baik, kerana bilamana seseorang itu menghembuskan nafas terakhirnya, tiadalah dia berpeluang melakukan amal-solehan lagi, hatta untuk menyebut satu ayat `Subhanallah´ pun, sudah terlambat. Dan, sebaik-baik dalam melakukan amalan baik, adalah yang dilakukan beristiqamah (berkekalan). Bak kata falsafah Islam, istiqamah adalah lebih baik dari seribu karamah.

Hijrah nafsu – dari nafsu yang buruk berserakah atau nafsu yang liar kepada nafsu dapat ditundukkan dan dikawal. Nafsu adalah ibarat kuda yang liar, bila kita dapat menundukannya, dapatlah kita menunggangnya. Dari nafsu amarah bisu (nafsu liar dan jahat) kepada nafsu lawwamah dan seterusnya pada nafsu mutmainnah (nafsu yang tenang). Untuk ahli sufi, banyak peringkatnya seperti keperingkat nafsu kamilah (sempurna), tetapi kita berkata pada tahap biasa, seperti yang disebut di dalam Al- Quran, sesungguhnya mereka yang mencapai nafsu mutmainnah, mereka ini adalah termasuk golongan yang diredhai Allah dan akan dimasukkan kedalam syurgaNya.

Hijrah akhlak – dari tabiat atau berperangai buruk kepada berakhlak mulia seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Iainya merangkumi segala aspek, dari sifat pemarah kepada sifat penyabar, dari sifat gopoh-gapah kepada sifat cermat. Begitu juga dari sifat-sifat atau tabiat buruk seperti rakus, hasad-dengki, menghasut atau mengumpat, tiada sikap bantu-membantu, hormat-menghormati dan lain-lain kepada cara-cara dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Begitulah konsep hijrah yang mana umat harus terus dalam konsep berhijrah ini sekiranya umat ini menginginkan kejayaan dunia dan akhirat. Wallahuallam.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

Thursday 31 March 2011

Seuntai Kata Pembuka

Assalamualaikum W.B.T..

Alhamdulillah, segala puji bagi Rabb sekalian alam.  Selawat dan salam ke atas junjungan mulia kita, baginda Muhammad S.A.W..  Sanjungan tertinggi dan contoh terbaik yang tiada tara dan perlu dijadikan tauladan kepada setiap umat.  Dengan izin Allah, blog yang masih serba kekurangan ini telah mula dibina pada hari ini iaitu 31 Mac 2011 bersamaan dengan 26 Rabiul Akhir 1432H, malam Jumaat.  Insya-Allah, berkat usaha dan keikhlasan kami para krew Ikhwan 47:7, akan menjadi keutamaan kami untuk memastikan blog ini dihiasi penuh dengan kontena-kontena ilmu dan motivasi yaang bermanfaat, diharap agar pengisian-pengisian yang kami sampaikan ini dapat menjadi benih pembangun dalam hati setiap pembaca.  Semoga hidup kita mampu memiliki pengertian yang lebih bermakna berbanding sebelumnya.  Amin.
Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

Blog ini sepenuhnya adalah hak milik Ikhwan 47:7, namun disampaikan untuk semua :)