Saturday 2 April 2011

konsep Hijrah







Oleh: Buzar-1Rasulullah s.a.w telah berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk meneruskan perjuangan dakwahnya ketika kaum Musyrikin Mekah bertambah giatnya menentang dakwah Islam. Rasulullah s.a.w telah menempuh laluan sukar, merbahaya dan diburu oleh musuh.

Bila-mana Rasulullah s.a.w bersama Syaidina Abu Bakar r.a bersembunyi di dalam gua, kaum Musyrikin telah menghampiri gua tersebut, yang mana Allah telah memerintahkan sang labah-labah memasang sarangnya disitu, lalu gua tersebut kelihatan seperti tiada siapa pun yang memasukinya. 

Begitulah kekuasaan Allah yang mana Allah boleh mengambil usaha dari apa sahaja, dari siapa sahaja yang dikehendakiNya, seperti dari usaha sang labah-labah melindungi gua tersebut dari dimasuki oleh kaum Musyrikin, lalu terselamatlah Rasulullah s.a.w. dan Syaidina Abu Bakar r.a.

Allah sebenarnya tidak memerlukan apa-apa sebab untuk melindungi mereka, tetapi hanya semua kisah perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w adalah suatu misal untuk umat ini.

Penghijrahan seumpama Rasulullah s.a.w dan para-para Sahaba itu tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas pembukaan kota Mekah, namun konsep penghijrahan itu tetap berterusan di kalangan umat Islam. Seperti penghijrahan dari kemungkaran kepada kemakrufan, kejahatan kepada kebaikan dan dari kebaikan kepada yang lebih baik lagi. Dari kejahilan kepada berilmu, dari kemunduran kepada kemajuan, dari melakukan dosa-dosa kepada amal-solehan dan seterusnya.

Seperti konsep hijrah Rasulullah s.a.w, pastinya perlu dilakukan bersunguh-sunguh dan sanggup menempuh jalan yang penuh risiko disamping sentiasa memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah Taala.

Diantara konsep hijrah yang masih berlarutan:

Hijrah Iman – Iman para Anbiya tidak pernah surut malah sentiasa meningkat kerana saban waktu mereka berusaha keatas iman, sama ada untuk diri mahupun untuk menyampaikan pada orang lain, sementara iman kita sentiasa pasang-surut, dan terutamanya di zaman ini, lazimnya iman kita akan sentiasa surut kerana pengaruh duniawi, jadi untuk kita berhijrah ke arah keimanan yang lebih baik, hendaklah kita melalui usaha membersihkan sifat-sifat keji (mazmumah) dan berusaha mendapatkan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) agar hati akan sentiasa disinari nur-nur hidayat.

Lantas usaha pertama ke arah itu adalah usaha dakwah (sebagaimana para-para Anbiya dan juga para-para Sahaba), mengajak ke arah kebaiakan dan mencegah kemungkaran mengikut kemampuan diri. Usaha yang banyak memperkatakan tentang kebesaran Allah, ciptaan-ciptaan Allah dialam-semesta. Usaha yang mengenal apa kehendak agama pada diri, keluarga dan seterusnya untuk seluruh alam.

Hijrah ilmu – sebagaimana yang diperkatakan oleh ahli hikmah, ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya. Kejahilan membawa padah yang buruk, kerana setiap muslim samaada lelaki atau wanita adalah diwajibkan untuk mendapatkan ilmu terutamanya ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Juga ilmu tentang kehidupan yang sehariannya, kerana dengan berilmu sahajalah, seseorang itu dapat meningkatkan kefahamannya tentang kebenaran. Ilmu yang benar adalah seperti cahaya yang menyuluh jalan di dalam kegelapan dan merupakan dalil untuk beramal.

Hijrah amal – dari amalan yang buruk kepada amalan yang baik, serta mentaati segala amalan yang diperintahkan oleh Allah seperti bersolat, berpuasa, berzakat dan seterusnya. Setiap detik hidup adalah merupakan peluang untuk melakukan amalan-amalan yang baik, kerana bilamana seseorang itu menghembuskan nafas terakhirnya, tiadalah dia berpeluang melakukan amal-solehan lagi, hatta untuk menyebut satu ayat `Subhanallah´ pun, sudah terlambat. Dan, sebaik-baik dalam melakukan amalan baik, adalah yang dilakukan beristiqamah (berkekalan). Bak kata falsafah Islam, istiqamah adalah lebih baik dari seribu karamah.

Hijrah nafsu – dari nafsu yang buruk berserakah atau nafsu yang liar kepada nafsu dapat ditundukkan dan dikawal. Nafsu adalah ibarat kuda yang liar, bila kita dapat menundukannya, dapatlah kita menunggangnya. Dari nafsu amarah bisu (nafsu liar dan jahat) kepada nafsu lawwamah dan seterusnya pada nafsu mutmainnah (nafsu yang tenang). Untuk ahli sufi, banyak peringkatnya seperti keperingkat nafsu kamilah (sempurna), tetapi kita berkata pada tahap biasa, seperti yang disebut di dalam Al- Quran, sesungguhnya mereka yang mencapai nafsu mutmainnah, mereka ini adalah termasuk golongan yang diredhai Allah dan akan dimasukkan kedalam syurgaNya.

Hijrah akhlak – dari tabiat atau berperangai buruk kepada berakhlak mulia seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Iainya merangkumi segala aspek, dari sifat pemarah kepada sifat penyabar, dari sifat gopoh-gapah kepada sifat cermat. Begitu juga dari sifat-sifat atau tabiat buruk seperti rakus, hasad-dengki, menghasut atau mengumpat, tiada sikap bantu-membantu, hormat-menghormati dan lain-lain kepada cara-cara dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Begitulah konsep hijrah yang mana umat harus terus dalam konsep berhijrah ini sekiranya umat ini menginginkan kejayaan dunia dan akhirat. Wallahuallam.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu (QS.47:7)

No comments:

Post a Comment

Blog ini sepenuhnya adalah hak milik Ikhwan 47:7, namun disampaikan untuk semua :)